IBU kepada dua beradik perempuan yang maut dalam kemalangan di Jalan Bernam-Tanjong Karang, Selangor pada Isnin tidak dapat menahan kesedihan apabila hilang dua anaknya sekelip mata.
Nurhayati Shanti Abdullah, 54, berkata, pemergian dua anaknya iaitu Norhidayah Marsom, 20, dan Sha Sabarina, 27, memberi kesan amat mendalam apatah lagi hubungan mereka amat rapat.
"Lemah seluruh badan saya sebaik mengetahui dua anak pergi serentak, rasa macam tak percaya dengan kehilangan ini," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tanjong Karang (HTK), pada malam Isnin.
Nurhayati berkata, semasa kejadian, dia berada di rumahnya di Parit Pakat, Sungai Nibong, Sekinchan dan sedang menunggu kelas fardu ain secara dalam talian pada pukul 5.30 petang.
Bagaimanapun katanya, kelas dibatalkan dan selang beberapa minit seorang anak menghubunginya memaklumkan Norhidayah dan Sha Sabarina terbabit kemalangan.
Menurut Nurhayati, pada mulanya dia menyangka dua beradik itu hanya terbabit kemalangan biasa, tetapi sangkaannya meleset apabila dimaklumkan Sha Sabrina meninggal dunia di tempat kejadian.
"Luluh hati saya sebaik mengetahui Sha Sabrina sudah meninggal dunia dan terus bergegas ke hospital.
"Dalam perjalanan ke hospital, saya sekali lagi diberitahu Norhidayah pula pergi buat selamanya," katanya.
Mengimbau kembali detik terakhir bersama dua anaknya itu, Nurhayati berkata, masih terngiang-ngiang di telinganya hasrat dua beradik itu yang hendak bekerja di Australia selepas sambutan Aidilfitri.
"Mereka mahu bekerja di sana untuk tempoh setahun, tapi hasrat itu tidak kesampaian kerana kedua-duanya terlebih dahulu dijemput Ilahi," ujarnya.
Katanya, dua beradik itu bekerja sebagai juruwang yang mana Sabarina bekerja di Klang Jaya manakala Norhidayah di Sri Andalas, Klang.
Nurhayati berkata, jenazah kedua-dua anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23 Sungai Nibong selepas selesai urusan bedah siasat.
Terdahulu, dua beradik perempuan itu maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Bernam-Tanjong Karang pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, kedua-dua beradik itu maut selepas kereta Toyota Camry dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes-Benz.
Bagaimanapun, pemandu kereta Mercedes berusia 55 tahun hanya mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram