DUA beradik perempuan maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Bernam-Tanjong Karang, Selangor pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Norhidayah Marsom, 20, dan kakaknya, Sha Sabarina Marsom, 27. Kedua-dua mangsa berada dalam kereta jenis Toyota Camry.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan membabitkan dua kereta iaitu jenis Toyota Camry dan Mercedes-Benz.
"Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Sha Sabarina, manakala Norhidayah meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Norazam berkata, mangsa yang memandu Mercedes-Benz pula mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram