KES harian baharu Covid-19 negara menunjukkan sedikit peningkatan apabila merekodkan 21,315 kes baharu pada Isnin berbanding 21,072 kes yang dicatatkan pada Ahad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di media sosialnya berkata, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia kepada 3,061,550 kes setakat ini.
Menurut kenyataan itu, daripada 21,315 kes yang dilaporkan pada Isnin, sebanyak 6,200 kes (29.09 peratus) terdiri daripada kategori 1 serta 15,028 kes kategori 2 (70.50 peratus).
"Baki sebanyak 48 kes (0.23 peratus) adalah kategori 3, 23 kes kategori 4 (0.11 peratus) dan 16 kes kategori 5 (0.07 peratus)," katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 8,517 kes sembuh baharu direkodkan pada Isnin, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,860,954.
Selain itu, sebanyak 199 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Beliau berkata, meskipun semasa kes diuji dan baharu didiagnosis kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori lebih tinggi lalu dimasukkan ke hospital.
Menurutnya, setakat Isnin, kes baharu Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,217 kes dengan 400 daripadanya (32.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.
"Sebanyak 817 kes (67.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
"Selain itu, sejumlah 13 kes telah dimasukkan ke ICU dan 1,005 kes ditempatkan di katil biasa. Pada masa sama, 918 kes telah discaj daripada hospital," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 17 kluster baharu dicatatkan pada Isnin, sekali gus menjadikan jumlah kluster mencecah 6,613. Daripada jumlah berkenaan, hanya 435 kluster masih aktif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram