Lelaki Iraq disiasat kes bunuh wanita di Ampang


  • 112
  • Isnin, 14 Feb 2022

KEADAAN mangsa wanita yang dibunuh dalam kejadian di Jalan Mamanda, Ampang pada Ahad.

SEORANG lelaki warganegara Iraq yang juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes bunuh di Ampang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pembantu restoran ditahan kira-kira pukul 11.20 malam Ahad di tepi jalan Ampang Putra, Ampang.

"Selain tangkapan, kita turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian bunuh tersebut. Kita juga percaya dengan tertangkapnya suspek ini, kes ini boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, seorang wanita warga Somalia yang berusia 28 tahun ditemukan maut dipercayai akibat pergaduhan dalam kejadian di Jalan Memanda 2, Ampang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.12 tengah hari itu, mangsa ditemukan di dalam keadaan terbaring secara mengiring dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bunuh, suspek, iraq, somalia, wanita, ampang