MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun terhadap beberapa pemimpin utama Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Antara yang bakal dikompaun adalah Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran kerana melanggar peraturan kesihatan itu pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di EduCity Kota Iskandar, Johor pada petang Ahad.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu ciapan di laman Twitter rasmi Khairy.
Menurut Khairy, kompaun itu akan turut dikenakan terhadap penganjur di bawah Akta 342 Kawalan Penyakit Berjangkit.
"KKM akan terus pantau SOP sempena PRN Johor," katanya lagi.
Terdahulu, sebuah video memaparkan ketibaan pemimpin-pemimpin itu menerima kecaman orang ramai di media sosial berikutan keadaan yang terlalu sesak sehingga gagal mengekalkan penjarakan fizikal.
Beberapa individu berpengaruh sebelum ini turut pernah dikenakan kompaun kerana melanggar SOP kesihatan.
Pada Ogos 2020, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 Selepas gagal mematuhi SOP kuarantin wajib ketika pulang dari Turki.
Selain itu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP ketika majlis tahnik anak keduanya pada Mei 2021.
Pada Disember 2021, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju turut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas didapati melanggar SOP ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram