Bapa kanak-kanak maut makan sisa makanan positif dadah


  • 112
  • Isnin, 14 Feb 2022

POLIS membawa mayat dua beradik yang maut, selepas dipercayai makan sisa makanan dari tong sampah di Langkawi. — Polis Langkawi

BAPA kepada dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai makan sisa makanan dari tong sampah, di Langkawi, Kedah, ditahan polis untuk siasatan lanjut pada malam Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, hasil ujian air kencing lelaki berusia 36 tahun itu didapati positif dadah.

"Bapa kepada dua kanak-kanak ini telah ditahan pada malam Ahad untuk membantu siasatan. Hasil ujian air kencing adalah positif dadah.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shariman berkata, mayat dua beradik tersebut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

Pada Ahad, media melaporkan, dua beradik berusia dua dan empat tahun maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi pada petang Ahad.

Polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin dan Ngei kira-kira jam 6.15 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram