Sumpah laknat kes cabul libat bekas Adun tidak ganggu siasatan


  • 112
  • Ahad, 13 Feb 2022

KAMARUL Zaman turut jelaskan bahawa seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu, termasuk bekas Adun dan wanita tersebut. 

TINDAKAN seorang wanita yang membuat pengakuan sumpah laknat melibatkan dakwaan kes cabul oleh seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor, tidak menganggu siasatan pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut menjelaskan bahawa, siasatan kes berkenaan juga masih diteruskan.

"Tidak ada (ganggu siasatan)...itu adalah (dakwaan) peribadi dia. (Kes ini) kita akan terus siasat secara adil dan saksama,” katanya selepas Operasi Samseng Jalanan, di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang melakukan pengakuan sumpah laknat berhubung kes cabul melibatkan bekas Adun berkenaan pada Sabtu.

Kamarul Zaman baru-baru ini berkata, kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan bekas Adun berkenaan terhadap seorang wanita, yang juga ahli sebuah parti politik telah dilengkapkan.

Beliau berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu, termasuk bekas Adun dan wanita tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram