Tiga generasi terajui legasi Ho Kow Kopitiam


HO Kow Kopitiam masih bertahan sejak lebih 70 tahun dahulu.

SELEPAS berpindah ke Kuala Lumpur dari wilayah Hainan di China sebelum Merdeka, pengasas kepada pemilik Ho Kow Kopitiam, mendiang Soon Kee membuka sebuah kedai makan yang mana menjadi nadi kepada keluarga Ho Kow, 78.

Menggunakan nama kedai kopi Soon Kee Ketika itu, Ho Kow menceritakan, kedai kopi itu bukan sekadar kedai makan tetapi juga rumah dan tempat dia membesar.

“Sejak dahulu kedai kopi (kini kopitiam) keluarga saya sentiasa dikunjungi oleh rakyat berbilang kaum, tidak kira Melayu, Cina dan India.

“Saya membesar dalam kedai itu dan melihat bagaimana sebuah kedai kopi dapat menyatu padukan masyarakat Malaysia dengan hanya secawan kopi dan roti bakar,” katanya kepada Majoriti.

ho kow 1

HO Kow Kopitiam dahulunya dikenali sebagai kopi Soon Kee.

Tambahnya, dia meneruskan legasi Ho Kow Kopitiam selepas bapanya meninggal dunia dan kini anak perempuan, Ho Sook Chan, 55, dan cucunya, Koo Wei How, 28, pula yang meneruskan kelangsungan kedai kopi itu.

Ho Kow Kopitiam sudah lama bertapak dari lokasi asalnya di Lorong Panggung, Kuala Lumpur selama 65 tahun sebelum berpindah ke kedai baharu empat tahun lalu di Jalan Balai Polis, Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, Ho Kow Kopitiam masih menerima kunjungan pelanggan dari serata Malaysia, Ho Know yang mesra di sapa Uncle Ho juga memberitahu, walaupun kopitiamnya berpindah lokasi yang tidak jauh dari tapak asal, dia masih gembira kerana pelanggan masih setia bersamanya.

“Ho Kow Kopitiam masih mengekalkan identitinya dengan mengekalkan menu signatur selain mengubah suai dalaman kedai sama seperti premis lama.

“Pelanggan yang sudah biasa ke Ho Kow Kopitiam juga dapat merasai pengalaman sama berada di kedai seperti kunjungan terdahulu di lokasi lama,” ujarnya.

ho kow 5

UNCLE Ho dan cucunya, Wei How mahu Ho Kow Kopitiam kekal menjadi lokasi penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tambahnya, berpindah dari kedai lama ke kedai baharu merupakan pengalaman yang sedih kerana ia bukan atas kehendak dirinya.

Dia ketika itu menerima notis arahan keluar premis dan terpaksa akur dengannya.

Sementara itu, Wei How yang juga pengurus Ho Kow Kopitiam memberitahu, kedai kopi itu masih mengekalkan menu signatur seperti kopi campuran istimewa, roti bakar kaya dan mentega kacang kasar dan telur separuh masak. Terdapat juga menu makanan berat seperti nasi lemak, mi kari dan juga chee cheong fun.

“Dahulu, menu makanan yang ditawarkan berbeza mengikut hari. Namun, sekarang pelanggan boleh mendapatkan menu kesukaan mereka pada setiap hari kami beroperasi.

“Tidak ketinggalan kami juga menambah pilihan menu baharu yang lebih moden bagi memenuhi citarasa golongan muda,” jelasnya.

ho kow 6

HO Kow Kopitiam masih mengekalkan menu signatur mereka.

Tambahnya lagi, pihaknya juga sedang dalam proses untuk memohon pensijilan halal diiktiraf bagi produk keluaran Ho Kow Kopitiam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram