Beri khidmat guaman percuma kepada kanak-kanak terlibat konflik undang-undang


  • Primer
  • Sabtu, 12 Feb 2022

PSCC mencadangkan agar KPWKM menghidupkan semula kempen kesedaran berkaitan gejala sosial dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. — The Star

SEMUA kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman secara percuma, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial (PSCC), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pengerang itu, dalam kenyataan bersama lapan Ahli Parlimen lain dalam jawatankuasa berkenaan, berkata, PSCC khuatir dengan laporan berita mengenai tindakan polis di Terengganu menahan gadis berusia 15 tahun dan didakwa mangsa rogol, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selepas bayi lelaki gadis tersebut yang baru lahir ditemukan mati dengan kesan tikaman.

"Dalam hal ini PSCC bimbang kerana tindakan pertama agensi berkaitan adalah mereman kanak-kanak itu yang masih di wad neonatal, bagi siasatan kerana membunuh, tanpa ada penilaian psikologi yang komprehensif atau laporan kebajikan sosial dijalankan, selain tanpa dia diberi sebarang khidmat guaman atau bantuan psikologi,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu, antara lain mengesyorkan agar, semua kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang, diberikan khidmat guaman percuma dari peringkat tahanan hingga selesai proses pengadilan jenayah, demi memastikan hak mereka dilindungi sepenuh dan sewajarnya.

Ia juga mengesyorkan agar, pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem keadilan jenayah termasuk Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara, Polis dan Pejabat Ketua Pendaftar, bekerjasama ke arah mencapai khidmat guaman percuma untuk semua kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang di Malaysia.

Selari dengan komitmen Malaysia dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, PSCC turut memuji perlindungan yang diberikan kepada golongan itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk layanan terhadap kanak-kanak semasa dalam tahanan dipatuhi dengan ketat oleh semua pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar kempen kesedaran dihidupkan semula oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi mengelakkan kes pembuangan bayi, serta menyediakan sokongan dan bantuan kepada ibu muda yang belum berkahwin.

Lapan Ahli Parlimen lain dalam jawatankuasa itu ialah, Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Che Alias ​​Hamid (Kemaman), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Fuziah Salleh (Kuantan), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Alice Lau Kiong Yieng (Lanang) dan Hannah Yeoh (Segambut). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram