PRN Johor: Pas, Bersatu rebut lebih 40 kerusi


  • Politik
  • Jumaat, 11 Feb 2022

TUAN Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Program NRW Nasional Pendekatan 1, Negeri Kelantan di Tapak Projek Tangki Pasir Tumboh, Kelantan pada Jumaat. — Bernama

PERIKATAN Nasional (PN) dijangka bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, dengan PAS dan Bersatu bertanding di lebih 40 kerusi, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Jentera parti telah membuat persiapan untuk menghadapi PRN kali ini dan pembahagian kerusi akan dilakukan dengan sebaik mungkin memandangkan masih ada beberapa parti lain lagi dalam PN. Selebihnya (itu) parti komponen lain dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Kelantan dekat Pasir Tumboh, di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Beliau berkata, pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu masih di peringkat perbincangan dan ia hanya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Perikatan Nasional PRN negeri Johor nanti.

"Kita juga telah bersetuju supaya satu bilik gerakan operasi antara PAS dan Bersatu ditempatkan di satu lokasi sahaja, bagi memudahkan segala urusan perancangan dan gerak kerja parti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Johor, PN, PAS, Bersatu, kerusi, proses rundingan, undi, spr,