PENYERANG Sabah FC, N Thanabalan mengakui teruja untuk bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata, peluang bermain bersama Baddrol adalah impian mana-mana penyerang di negara ini kerana kualiti serta pengalaman yang dimiliki pemain tengah itu sangat baik.
“Saya pernah main dengan dia semasa di Kedah, Baddrol ni seorang pemain yang sentiasa boleh berikan hantaran berkualiti kepada penyerang.
“Hantaran-hantarannya sentiasa boleh tekanan kepada pihak lawan dan itu satu perkara isitimewa mengenai Baddrol yang jarang ada kepada pemain lain.
“Bagi saya, ini ibarat peluang kedua bermain dengan dia dan Baddrol sememangnya layak untuk saya panggil dia legenda dalam pentas Liga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, hero negara yang membantu skuad Harimau Muda ke perlawanan akhir kejohanan Sukan SEA 2017 itu berharap, musim ini akan menjadi detik kebangkitan buat dirinya selepas dihantui beberapa siri kecederaan.
Menurutnya, beliau tidak pernah berasa putus asa walaupun kariernya merudum selepas kejohanan Sukan SEA dan sukar mendapat tempat dalam mana-mana pasukan yang disertainya.
“Kecederaan dalam bola sepak ini adalah satu perkara yang biasa dalam bola sepak dan ramai juga pemain yang hilang kerana masalah kecederaan di bahagian kaki.
“Sebelum datang ke Sabah, saya memang ada alami masalah kecederaan di lutut kanan perlu jalani proses pemulihan dan rasa lega kerana dapat juga beraksi pada penghujung tahun lalu.
“Saya tidak kisah jika orang tidak lagi ingat saya selepas pernah bantu pasukan negara mara ke final Sukan SEA 2017 kerana sebagai pemain bola sepak, situasi ini adalah lumrah.
“Apa yang penting, jangan sama sekali berputus asa dalam karier dan itu saya tengah cuba buktikan selepas berjaya untuk terus bersama Sabah pada musim ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram