
PENERBANGAN domestik dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah terpaksa dilencongkan ke Kuching, Sarawak apabila seorang penumpang menemui seekor ular dalam pesawat berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia, Kapten Liong Tien Ling, penerbangan KL-Tawau itu terpaksa dilencongkan ke Kuching pada petang Khamis sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang selepas ular itu dikesan.
"Sebaik kapten menyedarinya, beliau membuat keputusan untuk melencongkan pesawat ke Kuching.
"Insiden ini sangat jarang berlaku, namun ia boleh berlaku pada mana-mana pesawat dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tien Ling berkata, tindakan sewajarnya diambil untuk mengeluarkan reptilia itu daripada pesawat sebelum penerbangan diteruskan ke Tawau.
Tambahnya, mereka tidak mengetahui bagaimana ular itu boleh berada di dalam pesawat dan sama ada ia milik salah seorang penumpang atau tidak.
VIDEO tular menunjukkan terdapat kelibat ular berada di bahagian lampu pesawat.
Sebelum itu, tular di media sosial satu video berdurasi 14 saat menunjukkan terdapat kelibat ular berada di dalam sebuah pesawat dan pemilik video menyatakan pesawat yang dinaiki itu terpaksa membuat pendaratan cemas di Kuching, Sarawak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram