Maloney masih tunggu khabar dari Amerika Syarikat


  • Podium
  • Isnin, 07 Feb 2022

HARIMAU muda seri 1-1 dengan Sabah dalam perlawanan persahabatan pada Sabtu lalu. — Gambar FAM

KEPUTUSAN seri yang dicatatkan skuad Bawah 23 tahun negara ketika menentang pasukan Liga Super Sabah memberikan mood positif menjelang kejuaraan Piala Suzuki AFF Bawah 23 tahun.

Anak buah Brad Maloney ini bakal berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari untuk kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 26 Februari.

Perkara yang menggembirakan Maloney ialah walaupun pasukannya masih belum lengkap sepenuhnya, tetapi mereka mampu menahan asakan Sabah yang dibarisi pemain bintang dalam perlawanan kompetitif pertama mereka tahun ini di Stadium Likas di Kota Kinabalu.

Perlawanan yang berlangsung pada hari Sabtu lalu itu menyaksikan anak buah Maloney mendahului menerusi pemain sayap, T.Saravanan pada minit ke-76 sebelum Sabah meraih gol penyamaan pada minit ke-81 menerusi pemain tengah, Stuart Wilkins.

Ia merupakan keputusan yang baik kerana skuad muda negara ini perlu berdepan dengan pemain yang lebih berpengalaman seperti penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, pemain tengah Baddrol Bakhtiar, pemain bek Rizal Ghazali dan pemain import seperti pemain sayap Indonesia Saddil Ramdani dan pemain tengah Brazil Jackson Souza.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Skuad kami mempunyai ramai pemain baharu tetapi mereka bermain tanpa rasa takut, mencipta beberapa peluang baik, terutamanya pada separuh masa pertama dan mempamerkan corak permainan kombinasi yang bagus.

“Saya hanya melihat petanda yang positif pada masa ini. Anak-anak buah saya telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan keinginan untuk menang.

“Kami mempunyai beberapa lagi perlawanan persahabatan untuk menguji pemain. Saya mahu memberi peluang kepada semua orang untuk bermain dan membuktikan diri mereka sebelum menamakan 28 pemain yang akan ke Kemboja," kata Maloney.

Skuad muda negara itu akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari.

Mereka akan menentang Laos di venue yang sama pada 18 Februari dan perlawanan terakhir kumpulan menentang Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb dan dua teratas akan bertarung untuk merebut gelaran juara pada 26 Februari.

Maloney menggunakan kejohanan itu untuk memilih pasukan terbaiknya untuk skuad Piala AFC Asia Bawah 23 di Uzbekistan pada Jun.

Sementara itu, Maloney mendedahkan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat semakin kesuntukan masa untuk melaporkan diri ke kem latihan mereka.

“Kami tidak mendengar apa-apa daripadanya dalam tempoh 24 jam yang lalu. Kami akan membuat keputusan tidak lama lagi,” katanya.

Maloney berharap untuk memasukkan Kuzri dalam skuad untuk Kemboja tetapi nampaknya pemain itu menghadapi beberapa masalah di AS, menyebabkan jurulatih itu tiada pilihan selain membuat keputusan segera.

Kali terakhir pemain tengah berusia 20 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan ialah ketika bersama skuad Bawah 19 tahun negara pada Ogos 2020. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram