Pan-gon sudah tiba, jalani kuarantin — FAM


  • Podium
  • Sabtu, 12 Feb 2022

TUGASAN pertama Pan-gon adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022. — The Star

PENANTIAN peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelibat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal berakhir dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, jurulatih berusia 52 tahun itu tiba di Malaysia dari Korea Selatan, petang Jumaat.

Pan-gon hadir bersama barisan kejurulatihannya yang terdiri daripada jurulatih penjaga gol, Cho Jun-ho, Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae-hun (penganalisis), manakala penolong jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente belum tiba kerana perlu menjalani kuarantin di negaranya.

"Beliau sudah mula menjalani kuarantin wajibnya di sebuah hotel yang dijangka tamat jika diuji negatif untuk Covid-19 pada ujian hari kelima,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Saifuddin berkata, sebaik tamat kuarantin itu, pihaknya merancang mengadakan sidang media untuk memperkenalkan Pan-gon secara rasmi kepada peminat bola sepak tanah air.

Pada sidang media itu, Pan-gon dijangka menerangkan perancangannya untuk skuad Harimau Malaya dan mengumumkan lawan yang dipilih bagi siri aksi persahabatan pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula dari 21 hingga 29 Mac 2022.

Sebelum ini, Mohd Saifuddin berkata, enam negara telah menunjukkan minat untuk menguji Malaysia menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022.

Ditanya mengenai penolong jurulatih tempatan selepas pihaknya menyenarai pendek dua calon sebelum ini, beliau berkata, Pan-gon akan membuat keputusan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Pan-gon juga dijangka mengadakan pertemuan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal, Scott O'Donell dan Mohd Saifuddin selepas selesai kuarantin.

Bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya bulan lalu dengan mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF, Singapura Disember 2021.

Tugasan pertama Pan-gon adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual bermula awal Mac 2022, sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Beliau kemudian akan membimbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram