PEMAIN kebangsaan Filipina, Bienvenido Maranon dibawa masuk ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2022 bagi memperkukuhkan barisan serangan Harimau Selatan.
Maranon mula mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Piala Suzuki AFF 2020.
Bagaimanapun, kelibatnya sudah mula disedari oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang sanggup mengubah undang-undang baharu bagi memastikan Maranon menjadi pemain naturalisasi negara tersebut.
Bagi membalas jasa negara itu, Maranon mahu membantu membangunkan bola sepak Filipina dari peringkat akar umbi.
Maranon menanam hasrat itu kerana dia masih mengingati permulaannya bermain bola sepak di Cadiz, Sepanyol.
Ketika itu, keluarganya tidak mampu membeli bola atau but bola sepak untuk Maranon.
"Saya tidak membeli apa-apa. Keluarga saya sangat, sangat merendah diri. Selepas beberapa tahun, apabila saya diberi peluang untuk bermain bersama akademi di Sepanyol, saya mula meningkatkan diri sendiri.
"Saya mula mendapat gaji. Saya mula menjadi pemain profesional ketika itu. Selepas itu, hidup saya berubah," katanya seperti dilaporkan portal ABS-CBS News.
Ujar Maranon, akademi bola sepak akan memberikan jalan kepada kanak-kanak kepada masa depan lebih cerah.
"Kadang-kala, mereka sukar mendapat masa depan yang lebih baik kerana mereka tidak memiliki peluang. Jadi niat saya adalah memberikan mereka peluang itu.
"Bagi saya, saya mendapat peluang itu ketika masih muda. Jadi, saya mahu menterjemahkan kepada mereka apa yang berlaku kepada saya," menurutnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram