MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Mohammed Khairuzzaman kini ditahan pihak berkuasa.
Tanpa mendedahkan Mohammed Khairuzzaman ditahan atas kesalahan apa, beliau berkata penahanan itu dilakukan mengikut prosedur perundangan sedia ada.
"Segala apa berlaku adalah mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita akan tangkap.
"Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan segala dilakukan mengikut prosedur,” katanya.
Hamzah diminta mengulas penahanan Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan media antarabangsa dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Putrajaya pada Khamis.
Menurut laporan media, Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan tinggal di Malaysia sebagai pelarian ditahan di rumahnya di Ampang pada Rabu dan dijangka dihantar ke Bangladesh.
Sementara itu, mengulas desas-desus dua menteri daripada Bersatu mahu menyertai semula Umno, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu menyifatkan spekulasi tersebut sebagai ‘psychological warfare’ atau perang psikologi sahaja.
"Kalau khabar angin jangan percaya dan kalau surat layang lagi jangan percaya... Kalau diumum daripada orang yang betul nak keluar (Bersatu)...percayalah,” katanya.
Hamzah berkata, ‘psychological warfare’ itu segaja diwujudkan oleh orang politik untuk kepentingan parti masing-masing terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
"Ini (psychological warfare) biasa berlaku...mengapa berlaku bila ada PRN Johor, ini kononnya ingin beritahu rakyat Johor supaya jangan percaya Bersatu,” katanya.
Sebelum ini, portal berita tempatan mendedahkan dua menteri daripada Bersatu dikatakan mahu melompat kembali menyertai Umno. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram