
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mereka yang menyambut perayaan Maasi Magam dan perarakan Chingay perlu memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan diri dan orang tersayang.
"Kerajaan telah mengumumkan SOP sempena perayaan Maasi Magam dan Chingay pada Rabu.
“Sebagaimana kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, upacara sembahyang di kuil bagi perayaan Maasi Magam dan perarakan Chingay dibenarkan mengikut SOP pembukaan rumah ibadat bukan Islam di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.
“Keputusan itu dibuat berikutan pembentangan Kementerian Perpaduan Negara dalam Mesyuarat Kuartet Ke-12 dan selepas mendapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan.
“Sebelum ini, saya dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baru dan Presiden-presiden lima Persatuan Klan Johor Baru,” katanya dalam catatan Facebook pada Khamis.
Ka Siong turut berterima kasih kepada Hishammuddin kerana menerima maklum balas daripada pihak berkepentingan.
Pada Rabu, Hishammuddin berkata, perarakan malam pesta Chingay di Johor yang biasanya diadakan antara 19 hingga 22 Februari, serta perayaan Maasi Magam yang akan disambut dari 16 hingga 19 Februari adalah dibenarkan tertakluk kepada SOP yang ketat.
Bagi perarakan Chingay, upacara sembahyang di Johor Ancient Temple dan Xing Gong yang disambut oleh lima klan iaitu Hainan, Hakka, Hokkien, Teochew dan Tiong Hua akan dibenarkan selaras dengan SOP untuk rumah ibadat bukan Islam di bawah PPN Fasa Empat.
Namun, penganut tidak dibenarkan menyertai perarakan itu kerana ia terhad kepada ahli pengurusan tokong.
Nama-nama ahli pengurusan tokong dan pelan perjalanan perlu mendapat kelulusan polis.
Perarakan yang dibenarkan hanya 11 trak berhias dan tidak lebih 20 ahli pengurusan tokong bagi setiap trak.
Bagi Maasi Magam pula, hanya mereka individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan dan perlu sentiasa patuhi SOP seperti memakai topeng muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Perarakan membawa patung dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 50 pengiring dan tanpa lokasi perhentian.
Sama seperti SOP perarakan Chingay, nama ahli pengurusan kuil dan laluan perarakan mesti dikemukakan dan diluluskan oleh polis. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram