Kelantan United dapat suntikan


  • Podium
  • Khamis, 10 Feb 2022

KERJASAMA itu turut melibatkan perancangan program pembangunan bola sepak bersama KUFC. — Bernama

KELANTAN United FC (KUFC) menerima suntikan semangat apabila mendapat penajaaan bernilai RM150,000 dari KDDI Malaysia Sdn Bhd (KDDI Malaysia), sebuah syarikat telekomunikasi berpangkalan di Jepun bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, KDDI Malaysia berminat untuk menaja pasukan itu selepas melihat kerjasama oleh syarikat probiotik terkemuka Jepun, Yakult Malaysia yang memberi hasil baik kepada dua-dua pihak sebelum ini.

"Perjanjian kerjasama strategik penajaan ini melibatkan tajaan bernilai RM150,000 bagi pengurusan pasukan menghadapi saingan Liga-M yang akan berlangsung Mac 2022," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan KUFC bersama KDDI di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Majlis menandatangani penajaan dilakukan oleh Pengarah Urusan KDDI Malaysia, Masaki Matsuura manakala KUFC diwakili Pengarah Eksekutifnya Anas Karimi Ahmad Thani.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul Ikman berkata, selain penajaan dari segi kewangan, kerjasama itu turut melibatkan perancangan program pembangunan bola sepak bersama KUFC.

"Persetujuan dicapai hasil perbincangan awal kedua-dua pihak sebelum ini yang diwakili oleh Masaki dengan pengurusan KUFC," katanya.

Katanya, kerjasama itu adalah cetusan idea daripada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada dengan memperkenalkan pasukan kepada syarikat KDDI Malaysia.

"Pemilihan pemain Jepun, Masashi Motoyama dalam pasukan KUFC bagi memperkuatkan pasukan musim ini antara faktor menarik syarikat ini untuk menaja KUFC dan melalui kerjasama ini kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan program bola sepak bersama," katanya.

Sementara itu, Masaki berkata, penajaan itu adalah satu kerjasama pintar yang memberi manfaat kepada KUFC. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, bola sepak, tajaan, kufc, KDDI, suntikan