PH gesa lulus RUU Anti Lompat Parti sebelum 24 Mac


  • Politik
  • Khamis, 10 Feb 2022

MAJLIS Presiden PH memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon bagi PRN Johor sejurus selepas senarai calon dimuktamadkan dalam masa terdekat. — Bernama

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.

Majlis PH dalam kenyataan bersama pada Khamis juga menyebut, RUU itu yang dibawa ke sesi libat urus bersama Ahli-Ahli Parlimen, bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

"Majlis Presiden mengambil maklum siri libat urus berhubung RUU Anti Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.

"Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU ini perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MoU antara Kerajaan dan Pakatan Harapan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama berkenaan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada Khamis.

Dalam pada itu, mesyuarat berkala Majlis Presiden pada Rabu memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejurus selepas senarai calon dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ia demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik.

Mesyuarat juga bersetuju untuk PH menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ yang akan diumumkan sebelum kempen pilihan raya bermula, merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik.

MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pakatan Harapan, PH, PRN Johor, MoU, RUU, lompat parti