Budak maut terjatuh dari tingkat 10 kuaters PGA


  • 112
  • Khamis, 10 Feb 2022

KANAK-KANAK itu terjatuh dari tingkat 10 rumah kuaters polis berkenaan.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 5 tahun maut terjatuh dari tingkat 10 bangunan kuaters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, Selangor pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh ambulan Briged Tengah PGA.

"Usaha untuk menyelamatkan mangsa telah dilakukan kira-kira pukul 9.45 pagi namun mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital.

"Ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak2 2001 kerana kesalahan pengabaian dan SDR (mati mengejut)," katanya.

Menurut Mohd. Zaid, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faeez Norzah (013-2773407) atau berhubung dengan mana-mana balai berdekatan.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pengabaian ke atas kanak-kanak bawah umur bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram