TANGAN bengkak selepas menerima dos penggalak, itu merupakan kesan sampingan yang didakwa berlaku oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Johor Bharu, Johor.
Dalam satu perkongsian video yang tular di laman sosial, bapa kepada remaja berkenaan menceritakan situasi yang berlaku selepas anaknya menerima dos penggalak.
Lelaki yang dikenali sebagai Rosli itu mengatakan anaknya, Firdaus menerima dos penggalak di sebelah pagi kemudian tangannya mula membengkak di sebelah petang.
"Keadaan menjadi teruk menjelang malam dan anak saya mengadu dia sudah tidak tahan.
"Saya hantar dia ke unit kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu untuk mendapatkan rawatan," kata menerusi video berdurasi 2 minit 51 saat yang dimuat naik di TikTok dan Facebook.
Tambah pemandu teksi di Johor Bharu itu, melihat kepada apa yang terjadi ke atas anaknya dia bimbang perkara sama akan berlaku kepada orang lain.
Jelasnya lagi, sebaiknya hentikan dahulu pemberian vaksin untuk kanak-kanak dan remaja serta pastikan ia benar-benar selamat.
"Benda ini (vaksin) tidak dijamin kerajaan sebab risiko tanggung sendiri itu masalahnya.
"Sekarang anak saya sudah bengkak tangan dan saya tidak berpuas hati. Ibu bapa tidak digalakkan untuk memberi vaksin kepada anak-anak yang masih bersekolah kerana apa-apa yang berlaku kita menanggung," kongsinya lagi.
Rosli turut berharap kerajaan bertanggungjawab atas kejadian seumpama ini kerana ia melibatkan nyawa seseorang, malah potensi menyebabkan kecacatan.
Majoriti sedang cuba untuk menghubungi Rosli untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang kondisi anaknya dan pada masa sama mendapatkan respons daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung perkara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram