Telekom Malaysia iklan Menara TM untuk dijual


  • Bizz
  • Rabu, 09 Feb 2022

MENARA TM disenaraikan sebagai menara ke-10 tertinggi di Malaysia. — Gambar hiasan

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mengiklankan tawaran jualan aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

Iklan berkenaan disiarkan di akhbar The Star pada Rabu selain turut diiklan di portal propertyguru sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun harga bagi bangunan setinggi 55 tingkat itu dengan keluasan 989,200 kaki persegi itu tidak didedahkan.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

Bangunan itu dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 dan berstatus pegangan bebas dan ketika ini dihuni sepenuhnya.

Berdasarkan iklan itu, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan serba guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan juga masjid.

Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) dan memiliki lebih 1,700 ruang letak kereta.

Ia juga memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

Selain itu, kedudukannya berhampiran KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South dan juga berdekatan infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti menjadikan bangunan itu begitu strategik.

WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

menara tm, telekom malaysia, jual aset,