SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu diputuskan oleh SPR dalam satu sidang media khas pada Rabu.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Berkaitan PRN) Johor ke-15 diadakan pada belah pagi Rabu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di Johor Bahru, Johor.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata, PRN bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri itu, dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM96 juta.
Menurutnya, seramai 56 orang pegawai pengurus pilihan raya dilantik yang dibantu oleh 186 orang penolong pegawai pengurus manakala 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.
"Manakala, sebanyak 1,021 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram