Suami penggal kepala isteri, bangga tayangkan pada umum


  • Benua
  • Rabu, 09 Feb 2022

SUAMI Heidari memenggal kepalanya kerana menuduhnya curang.

SEBUAH rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menayangkan kepala isterinya yang dipenggal kerana didakwa berlaku curang, menggemparkan Iran.

Agensi berita ISNA melaporkan mangsa, Mona Heidari, 17, dibunuh dengan kejam oleh suami dan iparnya ketika kejadian di bandar Ahvaz.

"Kedua-dua suspek tersebut berjaya diberkas pada Isnin," jelas laporan itu lagi.

Susulan insiden mengerikan itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita, Ensieh Khazali menggesa Parlimen untuk mengambil langkah segera selain pihak berkuasa meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai sebagai usaha mengelakkan kejadian sedemikian.

Kebanyakan akhbar tempatan dan pengguna media sosial turut menzahirkan kemarahan terhadap insiden pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu, sekali gus menuntut pembaharuan sosial dan undang-undang.

"Seorang individu telah dipenggal kepalanya dan suspek yang melakukannya berbangga dengan tindakan kejam itu. Bagaimana kita boleh menerima tragedi ini dalam masyarakat?

"Kita mesti bertindak supaya pembunuhan seperti ini tidak berlaku lagi," menurut akhbar Sazandegi.

Media tempatan melaporkan mangsa berusia 12 tahun ketika berkahwin dan turut mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun.

Pada Mei 2020, seorang lelaki dihukum penjara sembilan tahun selepas bertindak memenggal kepala anak perempuannya berumur 14 tahun yang menjadi mangsa 'pembunuhan kehormatan' yang turut mengundang kecaman masyarakat. - Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bunuh, penggal, isteri, Iran, curang, Mona Heidari