"Sudah lebih dua tahun kami bersabar. Dah banyak kali pesan cara baik. Tapi tidak diendahkan. Harap bila dah kena tangkap ini selesailah masalah kami."
Itu luahan Muhammad Hafiz Mohamed, individu yang merakam video tular mengenai seorang lelaki yang melempar tahi lembu ke rumahnya ekoran rasa tidak puas hati selepas ditegur.
Individu itu bertindak demikian kerana berang selepas Muhammad Hafiz membuat laporan kepada ketua kampung di Kampung Semerah, Batu Pahat, Johor kerana lembu itu dibiarkan bebas dan berak di merata tempat hingga mengganggu ketenteraman jiran sekeliling.
KEADAAN raya yang dipenuhi tahi lembu akibat sikap jiran yang tidak bertangungjawab.
Menurutnya, pelaku yang juga jirannya itu telah ditahan polis pada awal pagi Rabu selepas beberapa kali aduan dibuat.
"Sebenarnya saya dah pesan banyak kali berkenaan tindakannya itu yang melepaskan lembu sesuka hati sedangkan di belakang rumahnya memang ada kandang khas yang siap berbumbung untuk empat ekor lembu itu.
"Sebelum ini saya dah pesan secara baik tetapi dia tetap tidak endahkan. Sedangkan kami terpaksa menanggung derita kerana bau tahi itu yang busuk dan terlalu banyak.
"Lagipun rumah saya ada ibu bapa yang tidak berapa sihat. Bila kita buat aduan kepada ketua kampung, dia bengang dan lempar tahi lembunya itu ke rumah kami," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Hafiz yang bekerja sebagai penternak ikan air tawar dan ikan hiasan itu berkata, dia juga dimaklumkan yang kesemua lembu individu itu akan dibeli selepas ini.
"Ketua kampung maklumkan yang kesemua lembunya akan dijual dan sudah ada pembeli. Jadi saya harap perkara ini akan selesai dengan baik.
"Saya pun kesian pada lembu-lembu itu kerana kadang-kadang dibiarkan sehingga dua hari di luar tanpa sebarang air," katanya.
Tambahnya, dia juga sudah bertanya kepada rakan-rakan penternak yang lain khususnya penternak lembu dan ramai beranggapan tindakan jirannya itu sebagai sesuatu yang melampau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram