Remaja tikam bayi di Kemaman direman tujuh hari


POLIS melakukan siasatan di sebuah rumah yang disyaki lokasi bayi tersebut ditikam sampai mati dalam kejadian pada Selasa. — Facebook

SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes seorang bayi lelaki yang maut dipercayai akibat ditikam di Kemaman, Terengganu pada Selasa.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Wad Bersalin Hospital Kemaman, setelah mendapat permohonan daripada pihak polis bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tengku Eliana dilihat tiba di hospital berkenaan kira-kira pada 12.40 tengah hari dengan diiringi anggota polis, dan difahamkan proses reman dilakukan di hospital kerana remaja itu masih menerima rawatan selepas bersalin.

Dalam kejadian pagi Selasa itu, bayi lelaki yang baharu sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada petugas kesihatan kira-kira 10 pagi Selasa berhubung kejadian itu, dan sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya merampas beberapa peralatan tajam yang mempunyai kesan darah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram