Negara di ambang gelombang keempat Covid-19


  • Massa
  • Sabtu, 05 Feb 2022

DR Malina berkata, kes Covid-19 dijangka akan terus meningkat berikutan kelonggaran SOP serta aktiviti bercuti. — Gambar hiasan/Bernama

POLA kes aktif Covid-19 yang merekodkan 61,426 setakat 3 Februari lalu, menunjukkan tanda-tanda negara sedang berdepan dengan gelombang keempat, kata Prof Madya Dr Malina Osman.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) membangkitkan perkara itu, susulan peningkatan kes positif baharu Covid-19 pada Jumaat, dengan jumlah sebanyak 7,234 kes berbanding 5,720 kes pada Khamis.

Angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dicatat pada 2,895,014 kes setakat Jumaat.

Dr Malina berkata, kes Covid-19 juga dijangka akan terus meningkat, berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) serta aktiviti bercuti.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai mematuhi SOP dengan sebaik-baiknya, di samping perlu melakukan ujian kendiri bagi mengesan sebarang kemungkinan dijangkiti Covid-19, setiap kali terdedah dengan aktiviti berisiko.

"Pengambilan dos penggalak bagi mereka yang layak perlu dilaksanakan segera," katanya kepada Majoriti.

MalinaOsman

DR Malina berkata, jangkitan varian Omicron tetap menjejaskan individu yang belum divaksin.

Ketika ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal dilaksanakan semula, Dr Malina berkata, ia bergantung kepada indikator pengurusan wabak yang memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan.

Katanya, ini termasuk kadar kemasukan ke wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pusat-pusat kuarantin sedia ada.

"Kita perlu sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya ledakan kes. Walaupun jangkitan Omicron secara umum adalah ringan, namun ia tetap menjejaskan mereka yang belum divaksin.

"Seandainya terlalu ramai, ia akan menjejaskan juga perkhidmatan kesihatan. Ia juga turut menjejaskan mereka yang masih belum divaksin dan juga mereka yang berisiko," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Oktober 2020 mengesahkan, Malaysia memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19 selepas mencatatkan angka tiga digit kes baharu selama beberapa hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama memutuskan penularan rantaian wabak itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram