PICKids sukarela, tiada sekatan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi — Khairy


  • Primer
  • Khamis, 03 Feb 2022

KHAIRY berkata, PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa membuat keputusan yang tepat. — Gambar hiasan/Agensi

PEMBERIAN vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.

"Setakat tempahan janji temu dibuka semalam (Rabu), 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat.

"Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di ibu negara pada Khamis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram