Kes Covid-19 terus meningkat, catat 7,234 kes pada Jumaat


  • Primer
  • Jumaat, 04 Feb 2022

JUMLAH kumulatif kes Covid-19 di Malaysia bertambah kepada 2,895,014 kes setakat ini. — The Star

MALAYSIA terus mencatatkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 pada Jumaat dengan jumlah sebanyak 7,234 kes berbanding 5,720 kes pada Khamis.

Angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dicatat pada 2,895,014 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun angka kes positif meningkat, jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan turut meningkat kepada 2,799,608 dengan pertambahan 5,254 orang pada Jumaat.

"Daripada jumlah kes baharu hari ini, 73 melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua. 118 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau juga berkata, sebanyak 21 kluster baharu direkodkan dengan 346 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata, Rt negara berada pada paras 1.11 pada Khamis dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.25 diikuti Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17).

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi di negara ini menyebabkan kurang pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima serta ia menunjukkan bahawa vaksin itu berfungsi.

"Walaupun jumlah kes Covid-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu berikutan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, ia menyebabkan gejala yang dialami tidak begitu teruk terhadap mereka yang sudah menerima vaksinasi penuh dan suntikan dos penggalak,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid-19, kes harian, , meningkat, noor hisham