Ubat pil pertama rawatan Covid-19 diluluskan


  • Benua
  • Jumaat, 04 Feb 2022

Singapura luluskan ubat pil pertama untuk rawatan Covid-19. - AFP

SINGAPURA meluluskan Paxlovid Pfizer sebagai ubat pil pertama untuk rawatan Covid-19.

Pil tersebut digunakan untuk pesakit dewasa yang berisiko tinggi yang mempunyai gejala ringan hingga sederhana bagi mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) republik itu di laman webnya berkata, kebenaran sementara untuk Paxlovid, gabungan dua ubat, nirmatrelvir (ubat antivirus) dan ritonavir (bagi mengekalkan paras darah nirmatrelvir untuk keberkesanan antivirus), telah diberikan pada 31 Januari.

"Paxlovid perlu diambil dua kali sehari selama lima hari, dan rawatan harus dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis dilakukan, dalam tempoh lima hari daripada permulaan simptom Covid-19,” kata HSA.

"Ia akan ditentu dan diutamakan kepada mereka yang berisiko tinggi menghidap penyakit Covid-19 yang teruk, seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya sambil menambah bahawa data keselamatan menunjukkan PAXLOVIDTM tidak memudaratkan dan laporan kesan sampingan buruk dalam kajian klinikal secara amnya rendah.

Kelulusan itu dibuat di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) dan setelah berunding dengan Jawatankuasa Penasihat Ubat-ubatan HSA. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid, pil, rawatan, singapura, ubat, Paxlovid