
PEMBERIAN vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) akan bermula esok di Lembah Klang sebagai permulaan.
Menjelang pelaksanaan PICKids itu, jumlah kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 sudah mencecah 517,107 orang setakat 1 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya berkata, angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.
"Permulaan yang baik dan Kementerian Kesihatan akan terus menyampaikan maklumat mengenai faedah mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya pada Rabu.
Khairy berkata, beliau berharap hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia akan mendapatkan suntikan vaksin menjelang akhir Februari.
Menurutnya, CITF-C (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak) di bawah pengawasan timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras bersama-sama Kementerian Pendidikan.
"Pautan bagi tempahan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) telah dimuat naik berdasarkan tarikh pendaftaran dan ibu bapa yang tidak menerima pautan akan mendapatkannya tidak lama lagi," katanya.
Khairy turut memuat naik infografik mengenai pendaftaran PICKids yang menunjukkan Selangor mempunyai jumlah pendaftaran tertinggi dengan 131,500 kanak-kanak mendaftar, manakala Labuan mencatatkan pendaftaran terendah dengan 900 kanak-kanak.
Beliau memaklumkan bagi kawasan Lembah Klang, kira-kira 47,500 kanak-kanak di Kuala Lumpur dan lebih 3,400 di Putrajaya telah mendaftar dalam PICKids.
Sejumlah 4 juta kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram