KPT tanggung semua yuran proses UPUOnline


  • Primer
  • Khamis, 03 Feb 2022

SEMUA yuran pemprosesan untuk pemohon UPUOnline/UNIK ID akan ditanggung KPT. — The Star

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan membayar semua yuran pemprosesan untuk pemohon UPUOnline/UNIK ID, kata Dr Noraini Ahmad.

Mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19, Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, pengecualian yuran itu membabitkan pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf, Sijil Tinggil Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma/Setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.

"Permohonan kemasukan akan dibuka mulai 4 Februari 2022 sehingga 31 Mac 2022.

"Sehubungan dengan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan dan KPT amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional, untuk membuat permohonan UPUOnline.

"Justeru, KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian, seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah," katanya.

Keputusan KPT itu kali kedua dilaksanakan selepas ia bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/UNIK ID kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022, tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Noraini Ahmad, UPUOnline, UnikID, KPT, IPTA, ILKS