Kafa Ihsan tidak perlu, lebih baik perkemas kurikulum pendidikan Islam — Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 29 Jan 2022

PELAKSANAAN subjek pilihan Kafa Ihsan harus mengambil kira beberapa situasi. — The Star

SEMAK semula dan perkemas kurikulum pendidikan Islam daripada memperkenalkan modul Kafa Insan buat masa ini, kata pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad.

Menurut beliau, perkara itu perlu kerana kurikulum pendidikan Islam sedia ada didapati terlalu berat dan sarat untuk dipelajari oleh murid-murid.

"Pada saya tidak ada keperluan buat masa ini untuk memperkenalkan modul Kafa Insan walaupun sekadar satu pilihan pada murid-murid.

"Apa yang penting buat masa sekarang bukan mempunyai kurikulum pendidikan Islam yang terlalu banyak dan sarat isikandungannya sebaliknya kita memerlukan kurikulum pendidikan Islam yang bemakna kepada murid-murid.," katanya kepada Majoriti.

anuar ahamd

Dr Anuar Ahmad

Tambah beliau lagi, sistem pendidikan negara tidak memerlukan modul tambahan seperti modul Kafa Ihsan, sebaliknya adalah lebih baik kurikulum pendidikan Islam disemak semula, disepadukan dan ditingkatkan kualiti pelaksanaannya.

Anuar yang juga merupakan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia turut memberitahu dia menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membangunkan modul Kafa Ihsan untuk dilaksanakan di sekolah sebagai satu pilihan.

Bagaimanapun beliau turut memberitahu, dalam hal tersebut, pelaksanaan Kafa Ihsan harus mengambil kira beberapa situasi.

"Pertama, bagaimana konsep modul pilihan akan dilaksanakan? Siapakah yang membuat pilihan? Pihak sekolah atau ibubapa? Bagaimana kaedah pelaksanaan secara pilihan dan apakah implikasi akademik, psikologi dan sosial kepada murid-murid yang tidak ikut serta? Apakah modul ini akan menambahkan beban murid-murid dan guru?

"Kedua, apakah modul bina insan tidak akan bertindih dengan kurikulum pendidikan Islam sedia ada sedangkan kurikulum pendidikan Islam sedia ada juga sudah cukup luas dan menyeluruh untuk dipelajari oleh murid-murid," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kafa-Ihsan, pendidikan Islam, guru, murid, UKM,