Graduan UPM cacat penglihatan gembira genggam ijazah


ANTARA cabaran yang terpaksa dihadapi Nurul Najwa Khairunissah ialah mendapatkan bahan rujukan. — Awani

KECACATAN yang dialami pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Najwa Khairunissah Hassim, 28, bukanlah penghalang buat dirinya untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu.

Nurul Najwa Khairunissah menerima ijazah tersebut pada Majlis Konvokesyen UPM ke-44 berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, baru-baru ini.

Merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, Nurul Najwa Khairunissah memanfaatkan empat tahun pengajian dengan sebaiknya untuk menggapai impian yang diidamkan selama ini.

Anak jati Terengganu itu memberitahu, dia amat gembira kerana penantiannya selama dua tahun untuk bergraduasi secara bersemuka selepas menamatkan pengajian pada 2020 akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya bersyukur dan bernasib baik kerana dapat bergraduasi hari ini memandangkan masih ada universiti lain tidak dapat melaksanakan majlis seperti ini.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UPM dalam menjayakan majlis ini walaupun kita masih dalam norma baharu," katanya yang menyambung pengajian di UPM pada 2016 selepas memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bekas penuntut St John’s Institution di Bukit Nenas, Kuala Lumpur itu turut berkongsi, sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekurangan penglihatan, antara cabaran yang terpaksa dihadapi ialah mendapatkan bahan rujukan.

"Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, agak sukar bagi kami untuk mendapatkan bahan kerana kebanyakan bahan di sini dalam bentuk salinan cetak.

"Saya perlu menukarkan salinan cetak itu kepada salinan lembut. Jadi, saya memerlukan sedikit masa untuk imbas dan mendengarnya menggunakan aplikasi Screen Reader'," katanya yang turut menggunakan khidmat sukarelawan ‘Reader’ untuk membaca bahan tugasan ketika diperlukan.

Nurul Najwa Khairunissah berkata, sepanjang pengajiannya di universiti itu, beliau merasakan kebajikannya terjaga.

"UPM sangat menjaga kebajikan pelajar OKU sama ada cacat penglihatan mahupun cacat fizikal. Sebagai contoh, universiti ini menyediakan kemudahan seperti pengangkutan untuk saya dan OKU lain dihantar ke kelas mahupun pulang ke kolej kediaman," katanya.

Menurut Nurul Najwa Khairunissah, rakan-rakannya sentiasa mengambil berat terhadapnya manakala pensyarah pula mudah didekati.

"Jika kita tidak faham atau perlukan bantuan mereka (pensyarah), mereka sudi membantu tidak kira waktu," tambahnya lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram