Guru harus fokus pada tugas hakiki, tidak patut berpolitik


  • Massa
  • Rabu, 26 Jan 2022

KERAJAAN baru-baru ini mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah serta petugas Kemas di seluruh negara untuk berpolitik. — Gambar hiasan/Bernama

MERUJUK kepada artikel “Teachers in politics draw concern” (The Star, 25 Januari), saya terkejut dengan pengumuman secara tiba-tiba bahawa guru kini dibenarkan berpolitik, kerana saya tidak pernah mendengar sebarang percubaan oleh mana-mana pihak melobi untuk perkara ini dalam arus perdana atau media sosial.

Jika terdapat golongan yang berbuat demikian, sudah tentu mereka akan dicemuh.

Kita sering mendengar luahan guru yang dibebani dengan keadaan kelas yang sesak, tugas pentadbiran, kursus yang perlu dihadiri dan aktiviti kokurikulum.

Mengapa pula beban mereka harus ditambah lagi dengan penglibatan dalam politik? Guru di sekolah kerajaan merupakan penjawat awam yang berkhidmat kepada kerajaan semasa dan sepatutnya tidak berpolitik. Mari kita kekalkan seperti itu.

Tidak ada keraguan dalam fikiran saya bahawa jika guru terlibat secara aktif dalam politik, mereka akan cenderung untuk mengabaikan tugas utama mereka.

Oleh itu, saya tidak nampak sebarang logik untuk membenarkan guru terlibat dalam politik.

Garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dirancang mungkin akan diabaikan. Umum mengetahui terdapat segelintir guru yang sudah bergiat aktif dalam politik dan secara terang-terangan mengingkari peraturan semasa.

Sebelum ini, kebimbangan mengenai taraf pendidikan di sekolah kerajaan, rasa hormat yang semakin berkurangan terhadap universiti awam di negara ini dan kesangsian tentang bilangan pelajar yang dianugerahkan PhD serta ijazah lain pernah dibangkitkan.

Oleh itu, kita harus memberi tumpuan untuk menggalakkan mereka yang mempunyai keputusan pendidikan yang cemerlang supaya menceburi bidang perguruan, meningkatkan latihan perguruan dan menyemai semangat disiplin dan komitmen terhadap profesion guru yang mulia.

Jika seorang guru begitu bersemangat mahu terlibat dalam politik, saya menyarankannya untuk meletakkan jawatan! — The Star

DR PETER JOSEPH PEREIRA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram