KPT pertimbang lanjut moratorium kenaikan yuran IPTS


  • Primer
  • Isnin, 13 Dis 2021

KPT sasarkan RM2.5 bilion kutipan pinjaman PTPTN bagi tahun depan.

BAGI meringankan beban pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mempertimbang untuk melanjutkan moratorium kenaikan yuran kursus pengajian di insititusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang telah dilaksana bermula 1 Jun 2020 hingga 31 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT juga telah memohon kepada IPTS untuk memberikan diskaun kepada pelajar atas dasar keprihatinan dan cakna kebajikan mereka.

"Malah, ada juga sesi libat urus awal dilaksanakan oleh KPT bersama institusi pengajian tinggi berkaitan perkara ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, KPT menyasarkan RM2.5 bilion kutipan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun depan.

Noraini berkata, pihaknya turut menganggarkan sejumlah RM2 bilion kutipan dalam tempoh pemberian diskaun bayaran balik PTPTN yang bermula 1 November hingga 30 April 2022.

"Setakat November lepas, RM297 juta dikutip manakala bagi tempoh Januari hingga November lepas adalah RM2.1 bilion," katanya.

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM11,546,744,200 kepada KPT menerusi Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 22 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

parlimen, KPT, noraini ahmad, PTPTN, kutipan