9,634 saman sepanjang lima hari Op Selamat di Perak


  • 112
  • Khamis, 03 Feb 2022

ANTARA kesalahan tertinggi pada Op Selamat di Perak adalah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, dan insurans tamat tempoh. — The Star

SEBANYAK 9,634 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya, sepanjang lima hari pelaksanaan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Perak sejak Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superitendan Azizan Hassan berkata, antara kesalahan tertinggi adalah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, dan insurans tamat tempoh.

"Sepanjang tempoh Op Selamat 17/2022 ini, jumlah kemalangan setakat hari ini (Rabu) adalah sebanyak 585 berbanding 608 pada Op Selamat 16/2020.

"Jumlah kemalangan dilihat berkurang sebanyak empat peratus namun jumlah kemalangan maut pula meningkat iaitu sebanyak enam kes berbanding dua kes pada Op Selamat 16/2020," katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Khas Bas Ekspres bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Amanjaya Meru Raya di Ipoh, Perak malam Rabu.

Beliau berkata, pihaknya telah meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan-kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Menurut beliau, daerah mencatatkan kemalangan tertinggi dalam tempoh Op Selamat kali ini adalah Ipoh, Taiping dan Tapah, manakala kebanyakan kemalangan berlaku melibatkan kereta sebanyak 425, motosikal (56) dan kenderaan pelbagai guna (31).

"Lokasi yang sering berlaku kemalangan dalam tempoh Op Selamat kali ini ialah di Jalan Bandaran sebanyak 236, Jalan Persekutuan (126) dan diikuti Jalan Ekspress (lebuh raya) sebanyak 103," katanya.

Sementara itu, katanya, statistik menunjukkan terdapat lapan kes kemalangan jalan raya dalam tempoh Op Selamat 17/2022, melibatkan bas berbanding tiga kes pada Op Selamat 16/2020 yang mana kebanyakannya berlaku di kawasan perindustrian.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes maut dilaporkan melibatkan bas sebaliknya hanya kemalangan kecil dilaporkan dan tindakan penguatkuasaan juga ditingkatkan sepanjang Op Selamat bagi memastikan pengguna jalan raya yang lain mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu, AADK turut menahan tiga pemandu kenderaan berusia 24 hingga 45 tahun positif dadah dalam pemeriksaan Op Mabuk, yang dijalankan di Jalan Sultan Azlan Shah (STAR) di Ipoh bermula 11 malam hingga 3 pagi Rabu.

"Ujian saringan awal mendapati, ketiga-tiga mereka yang beralamat di Ipoh positif dadah jenis Methampetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram