Cari punca masalah, bukan salahkan sekolah memandu


  • Massa
  • Rabu, 02 Feb 2022

SELAIN pemandu, faktor tambahan yang menjadi punca kepada berlakunya kemalangan jalan raya perlu dikaji. — The Star

KERAJAAN perlu melihat permasalahan salah laku trafik dan kemalangan secara dasar dan menyeluruh dan tidak meletakkan kesalahan bukan pada tempatnya, kata pakar undang-undang, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed.

Beliau yang juga Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dalam permasalahan berkenaan yang perlu dipersalahkan adalah pemandu itu sendiri.

marthada

Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed.

Katanya, setiap kemalangan atau salah laku trafik berpunca daripada kecuaian pemandu yang tidak patuh kepada undang-undang jalan raya.

"Kita perlu lihat daripada akar umbi, sekolah ada modul yang mereka ikut dan hanya mengajar selebihnya adalah tanggungjawab mereka sendiri (pemandu).

"Dalam hal ini apa yang perlu dilakukan adalah kaji semua tindakan yang boleh kita ambil, rujuk kepada negara-negara maju bagaimana mereka tangani masalah ini," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, dalam menangani isu ini, perlu ada langkah yang mencegah dan menghukum yang mana secara tidak langsung boleh membentuk pemandu supaya lebih berhemah di jalan raya.

Jelasnya, mengambil contoh di Singapura, mereka mengambil langkah yang mencegah dengan melaksanakan sistem demerit yang mana pemandu dengan lesen penuh boleh digantung lesen jika melakukan kesalahan lebih tiga kali (tiga demerit).

"Tidak hanya itu, kerajaan juga perlu meletakkan lebih peruntukan untuk usaha kempen supaya mesej kesedaran jalan raya dapat disampaikan secara holistik.

"Bagi langkah yang menghukum, Malaysia sudah ada hukuman untuk pesalah trafik tetapi ia seakan tidak berfungsi sebagai penghalang kepada pemandu daripada melakukan dengan kesalahan.

"Oleh itu, hukuman ini perlu dikaji semula dan diberatkan seperti memanjangkan tempoh penjara atau mengarahkan pemandu yang salah (kemalangan maut) membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Marthada turut memberitahu, selain punca masalah, faktor lain juga perlu dilihat seperti sistem jalan raya (untuk penunggang motosikal), penetapan had laju (sistem had laju dalam kenderaan) dan juga aksesori perlu terutama buat lori.

Katanya lagi, selain pemandu, faktor tambahan ini juga menjadi punca kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

"Sistem jalan kebanyakan belum lengkap kerana kurang laluan khas pengguna motosikal memandangkan golongan ini yang ramai terlibat kemalangan.

"Tidak hanya itu lori juga perlu ditetapkan aksesori tambahan seperti lampu terang di belakang yang sangat membantu untuk pemandu lain termasuk penunggang motosikal untuk mengecam kenderaan berat itu terutama dalam keadaan gelap atau malam," jelasnya.

Tambahnya lagi, had laju perlu dihadkan terutama untuk bas ekspres dan beliau juga percaya kerajaan mampu meletakkan syarat bahawa kenderaan di Malaysia perlu ada sistem penetapan had laju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram