PENGUMUMAN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggantung atau membatalkan permit institut memandu di mana ramai pesalah trafik menamatkan latihan mengundang pertikaian ramai yang melihat tindakan itu sebagai tidak wajar.
Rata-rata mereka menyifatkan bahawa meletakkan kesalahan ke atas sekolah memandu jika ramai yang terlibat dengan kesalahan trafik adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Seorang pemilik akaun laman sosial Facebook, Rozmi Mokhtar turut mempersoalkan kenyataan itu dan berpendapat bahawa pihak JPJ sepatutnya melihat situasi itu (pemandu kemalangan) turut melibatkan pegawai yang menilai ujian memandu.
Katanya, secara logik, institut memandu sekadar mengajar cara cara yang betul untuk memandu dan melatih untuk dapatkan lesen.
"JPJ yang jalankan ujian ke atas pemandu tersebut seterusnya JPJ yang buat keputusan pemohon layak dapatkan lesen atau tidak?
"Takkan sekolah memandu pula yang perlu bertanggungjawab atas kemalangan yang mungkin berlaku selepas itu termasuk batalkan permit sekolah memandu atau gantung lesen tenaga pengajarnya sedangkan ujian layak atau tidak layak untuk dapatkan lesen memandu dibuat oleh JPJ sendiri," katanya menrusi satu ciapan di Facebook pada Selasa.
Rozmi turut mempersoalkan, kenapa pegawai JPJ yang luluskan lesen ke atas individu yang terlibat dengan kemalangan jalan raya yang diambil tindakan.
Katanya lagi, jika mereka tidak layak memandu mengapa JPJ yang luluskan lesen memandu untuk pelajar sekolah memandu.
Sementara itu, Rozmi turut meluahkan rasa simpati kepada pengusaha sekolah memandu jika tindakan itu benar dilaksanakan kelak.
"Kasihanilah rakyat, tenaga pengajar sekolah memandu itu tidaklah kaya hanya cukup cukup makan sahaja," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram