POLIS Kelantan mengeluarkan 222 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Khas (Op Selamat 17) sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di Kota Bharu, pada malam Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superitendan Shuhaimi Jusoh berkata, kesalahan paling banyak dikesan adalah berkaitan nombor plat (77 saman), selain tiada lesen memandu (51) dan lesen kenderaan motor dan insuran tamat tempoh (57).
Beliau berkata, operasi yang bermula pukul 9 malam hingga 4 pagi pada Selasa melibatkan 15 pegawai dan 84 anggota, yang mengadakan lima sekatan jalan raya, dan operasi turut melibatkan rondaan bermotosikal oleh 13 pasukan, selain pasukan Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan.
Katanya, polis memeriksa 327 kenderaan dalam Op Khas itu, dan turut melibatkan pemeriksaan ke atas 357 individu yang terdiri daripada 267 lelaki dan 90 orang wanita.
Untuk ujian saringan mabuk, 35 individu telah diperiksa membabitkan pemandu kereta (18), pemandu MPV (13) dan empat orang pemandu van. Namun kesemua ujian didapati negatif," katanya selepas meninjau Op Khas di Kota Bharu, pada malam Isnin. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram