Pembangunan sekitar KL penting bantu ibu negara kekal bersaing


  • Massa
  • Selasa, 01 Feb 2022

PERANCANGAN pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya. — Gambar hiasan/Facebook

PERANCANGAN pembangunan bagi memastikan Kuala Lumpur kekal kompetitif serta mampu bersaing dengan bandar raya lain seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta perlulah merangkumi bandar-bandar di sekeliling ibu negara tersebut.

Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan tidak boleh hanya fokus kepada pembangunan dalam kawasan mereka sendiri sahaja.

"Usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia bukan berkisar di dalamnya sahaja, tapi keseluruhan metropolitan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pelabuhan misalnya yang berada di luar Kuala Lumpur.

"Justeru, kerjasama pentadbiran merentasi sempadan dengan penglibatan bersama PBT lain di Lembah Klang penting bagi kemajuan bersama kerana pembangunan kini dan masa hadapan bersifat sebuah konurbasi (bandar gabungan),” katanya.

Jamalunlaili berkata, pentadbiran merentasi sempadan ini merangkumi pembangunan persekitaran seperti pengurusan banjir dan pengangkutan termasuk jalan raya dan sistem rel.

"Sebagai contoh apabila kawasan Kuala Lumpur telah mempunyai kepadatan yang tinggi, ramai yang memilih untuk tinggal di luar bandar raya walaupun bekerja di sana, jadi seharusnya capaian pengangkutan awam seperti rel yang lebih efisien perlu ada bagi membolehkan mereka ulang alik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Jamalunlaili berpendapat DBKL juga harus merancang pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar dengan mengintegrasikan teknologi maklumat dan perkakasan pintar yang berasaskan Internet Kebendaan (IoT).

Katanya, tahap digitilasi masih lagi perlu ditingkatkan khususnya dalam pentadbiran kerajaan, pengurusan trafik, bencana selain keselamatan awam supaya sebarang tindak balas dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.

Sementara itu, Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Dr Suhardi Maulan berpandangan kawasan hijau semulajadi dan lapang juga perlu diberi perhatian dalam perancangan masa depan Kuala Lumpur bagi mengimbangi pembangunan fizikal.

Beliau berkata, kawasan hijau dan lapang ini perlu mempunyai fungsi yang jelas sama ada untuk tujuan reakreasi, biodiversiti dan kawalan banjir.

"Di negara-negara maju, kawasan hijau adalah aset untuk kesejahteraan dan kesihatan penduduk di bandar,” katanya menambah pengurusan bandar raya termasuk penyelenggaraan, perlu dititik berat supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh diguna pakai.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib pula mencadangkan supaya projek pembangunan mewah diadun bersama dengan penempatan penduduk sederhana rendah supaya tidak wujud kawasan slum.

"Kita tidak mahu seolah-olah ada kawasan itu yang komunitinya padat, terpinggir dan terasing dengan pembangunan dan fasiliti mewah yang berdekatan sehingga boleh mewujudkan polarisasi sosial.

"Sebaliknya, kemajuan di sesuatu tempat itu perlu lestari dan sesuai didiami untuk semua,” katanya dan berharap penelitian dibuat terhadap beban infrastruktur kerana ia boleh menyebabkan berlakunya banjir dan kesesakan lalu lintas.

Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) jatuh pada 1 Februari, serentak Hari Wilayah Persekutuan 2022, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1972. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram