Perjalanan diteruskan lewat enam jam, KTMB siasat insiden kereta api terbakar


  • Primer
  • Rabu, 02 Feb 2022

INSIDEN kebakaran kereta api ekspres di KM 490.50-491.00 antara Pasir Mas dan Tanah Merah hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif. — Facebook

PERJALANAN kira-kira 180 penumpang kereta api Ekspres Rakyat Timuran No 27 yang mengalami kebakaran di bahagian enjin, tetap diteruskan.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Zain Mat Taha berkata, perjalanan dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru, Johor Bahru itu dijangka mengalami kelewatan kira-kira enam jam.

Beliau berkata, kereta api dijangka sampai di stesen terakhir di Kempas Baru pada pukul 7 petang ini.

"Kami pihak KTMB memohon maaf kepada para penumpang atas kelewatan dan insiden yang berlaku ini," katanya.

Mohd Zain berkata, insiden di Km 490.50-491.00 antara Pasir Mas dan Tanah Merah hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif, tidak merebak ke gerabak penumpang dan tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau sebarang kecederaan.

Katanya, api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah malam hasil tindakan pantas pasukan bomba dari Pasir Mas serta Tanah Merah.

"Semua gerabak yang terbakar telah ditarik dengan lokomotif bantuan ke Stesen Pasir Mas," katanya.

Punca dan jumlah kerugian sedang disiasat oleh pihak KTMB. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram