Syahrul Azwari kembali ke Melaka United


  • Podium
  • Selasa, 01 Feb 2022

KEHADIRAN Syahrul Azwari diharap dapat memperkuatkan lagi cabaran pasukan dalam semua pertandingan Liga Malaysia. — Facebook

PEMAIN sayap, Syahrul Azwari Ibrahim kembali ke pangkuan Melaka United selepas tiga tahun meninggalkan kelab itu.

Perkara itu diumumkan Melaka United yang menyambut kehadiran semula Syahrul Azwari menerusi satu ciapan di laman sosial Facebook pada Isnin.

Katanya, kelab itu berharap kehadiran Syahrul Azwari bakal memperkuatkan lagi cabaran pasukan dalam semua pertandingan Liga Malaysia musim ini.

" Selamat kembali diucapkan buat bekas pemain sayap Melaka United musim 2018, Syahrul Azwari Ibrahim yang kini sah kembali menyertai Skuad Hang Tuah musim ini.

"Pemain berusia 29 tahun yang sinonim beraksi di sayap kanan ini kembali berhijrah ke Melaka selepas bersama Kelantan United FC musim lalu dan Kedah pada 2019 dan 2020.

"Syahrul antara tonggak penting Melaka United pada musim 2018 bersama Ifedayo Olusegun yang turut bakal kembali menyertai Skuad Hang Tuah musim ini.

"Semoga kehadiran semula Syahrul Azwari ke Melaka United bakal memperkuatkan lagi cabaran pasukan dalam semua pertandingan Liga Malaysia musim ini," tulisnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram