Tak jadi ke pangkuan kelab asal, Matyo kini milik MU


  • Podium
  • Rabu, 02 Feb 2022

AKSI Matyo ketika sesi latihan pertama bersama Melaka United di Stadium Hang Tuah pada Selasa. — Melaka United

BEKAS pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha akan membuat kemunculan semula dalam Liga Super selepas membuat kejutan menyertai Melaka United FC.

Pemain berusia 35 tahun itu berkelana di kelab Thailand, BG Pathum United pada 2020 dan beraksi dalam Liga Premier tahun lalu bersama Sarawak United.

Perkara itu disahkan oleh kelab berkenaan pada Selasa, sekaligus menepis khabar angin yang mengatakan bahawa pemain itu bakal berhijrah ke bekas kelabnya, Kelantan FC.

"Melaka United FC dengan ingin mengumumkan pemain berpengalaman, Nurshahrul Idlan Talaha sebagai pemain terbaharu yang sah menyertai Skuad Hang Tuah, musim ini.

"Nurshahrul, 35 tahun yang juga penyerang skuad kebangsaan menyertai Melaka United selepas semusim bersama Sarawak United FC musim lalu.

"Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Nurshahrul bakal membantu Skuad Hang Tuah dalam memberikan cabaran dalam semua pertandingan Liga Malaysia musim ini," menurut hantaran Facebook Melaka United.

Pemain yang dikenali dengan nama Matyo itu pernah beraksi dengan beberapa pasukan Liga Malaysia antaranya Kelantan, Johor Darul Takzim, Negeri Sembilan, ATM, Terengganu, Felda United, Pahang dan Sarawak United.

Beliau juga mempunyai lebih 80 kap bersama Harimau Malaya dengan 14 gol di peringkat antarabangsa.

Matyo juga merupakan salah seorang watak penting dalam kejayaan negara meraih trofi Piala AFF Suzuki pada 2010. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram