Penumpang dedah api sukar padam kereta api terbakar di Pasir Mas


  • Tular
  • Rabu, 02 Feb 2022

TANGKAP layar perkongsian video pengguna TikTok mengenai kebakaran kereta api pada malam Selasa.

SEMUA penumpang yang berada di dalam sebuah kereta api ekspres berhampiran Pasir Mas, Kelantan panik dan mahu keluar apabila mengetahui api pada kenderaan itu sukar dipadamkan dalam satu kebakaran pada malam Selasa.

Menerusi perkongsian @norfasarinarahmat yang juga penumpang kereta api itu, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Kelantan ke Gemas.

"Kepala kereta api terbakar dan semua diarahkan turun dari gerabak sebab api merebak.

"Doakan kami masih sangkut di tengah hutan," katanya pada hantaran di laman TikTok.

Setakat jam 11 pagi Rabu, perkongsiannya mendapat lebih 24,000 tanda suka dan lebih 990 komen respons orang ramai.

41643768888_keretaapiekspres

SEMUA penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku. — Bernama

Terdahulu, media tempatan melaporkan, bahagian enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas, Kelantan pada jam 9.44 malam Selasa.

Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kesemua 180 penumpang dilaporkan selamat.

Penolong Penguasa Bomba (PPB) Pasir Mas, Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada jam 1.44 pagi Selasa.

Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kereta api, terbakar, Pasir Mas, KTMB