USJKT JIPS siasat kes lelaki mati dalam tahanan polis


  • 112
  • Ahad, 30 Jan 2022

SUSPEK yang ditahan pihak polis dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia. — Bernama

KES seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Kuala Kangsar, Perak akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai pesakit mental yang mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada 7 malam, Jumaat.

"Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan agresif dan sedang bergelut sebelum ditahan empat lelaki termasuk bapanya.

"Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan. Lelaki itu bagaimanapun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azri berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram