Mayat lelaki ditemukan kaki, tangan terikat di Tampin


  • 112
  • Jumaat, 28 Jan 2022

MANGSA ditemukan oleh isteri dan anaknya pada Khamis. — Gambar hiasan/Facebook

MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki terikat di sebuah rumah di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah, Tampin, Negeri Sembilan pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Anuwal Ab Wahab, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki berusia 26 tahun itu, pada pukul 3.02 petang Khamis yang terbaring di atas tilam berhampiran pintu bilik dengan keadaan tangan dan kaki terikat, selain badan mangsa berbalut kain selimut.

"Kira-kira 2.30 petang, isteri bersama ibunya dan anak lelaki berusia empat tahun pergi ke rumah, susulan mangsa tidak berjaya dihubungi dua hari lalu. Kali terakhir isteri mangsa menghantar mesej menerusi WhatsApp pada 3.36 pagi tadi (Khamis), namun tidak berjawab.

"Isteri mangsa kemudian meminta bantuan daripada jiran untuk hubungi bomba kerana melihat mangsa melalui tingkap bilik dalam keadaan tangan dan kaki suaminya terikat serta berbungkus,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Anuwal, mangsa dianggarkan mati lebih 24 jam dan mayat tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan untuk dibedah siasat.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, mayat, lelaki, terikat, rumah, tampin