POLIS mengenal pasti punca kejadian seorang pekerja penyelenggaraan yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat dua ruangan lif di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew di ibu kota pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati mangsa tergelincir ke dalam ruangan lif semasa memijak tong sampah besi yang digunakan sebagai alas pada jam 11.55 pagi, Jumaat.
"Kejadian itu tidak disedari oleh orang lain kerana lif tersebut tidak digunakan dan bukan berada di laluan pengunjung," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Muhammad Idzam berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Tambah beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.07 pagi, Sabtu.
"Mangsa berusia 32 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah ruangan lif pusat beli-belah berkenaan.
"Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa dan pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang hadir di tempat kejadian telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.
"Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau balai polis yang berdekatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram