Pemancing maut bot terbalik di Tanjung Dawai


  • 112
  • Selasa, 14 Dis 2021

KESEMUA mangsa dikatakan menuju ke Tuas yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak untuk memancing. — Ihsan APMM

SEORANG pemancing maut manakala lima lagi terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul ombak di perairan Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah pada Selasa.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki yang maut dikenali sebagai Muhammad Ridhwan Mokhtar, 38, berasal dari Gurun, Kedah

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim, seorang mangsa, Hafizul Ajis Samsudin, 31, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah.

"Bagaimanapun keadaannya stabil dan dalam proses pemulihan pernafasan akibat lemas.

"Tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, serta tiga lagi pemancing, Mohd Firdaus Zainal, 36, Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19 dan Zulkifli Ahmad, 45, terselamat dan tidak cedera," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Anuar lagi, keenam-enam lelaki tersebut dikatakan berlepas dari Jeti Teluk Bayu, Batu Lintang, Tikam Batu dekat Sungai Petani, pada 10 pagi Selasa.

Mereka dikatakan menuju ke Tuas yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak untuk memancing.

"Bagaimanapun, menurutnya ketika tiba di lokasi kejadian bot jenis fiber yang dinaiki dipukul ombak setinggi kira-kira dua meter menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam laut.

"Tekong bot bertindak menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meminta bantuan dan pada 12 tengah hari, bot Perkasa milik agensi itu dengan kekuatan empat kru tiba di lokasi kejadian dan menyelamatkan mereka," ujarnya.

Katanya lagi, pemancing yang cedera telah dibawa oleh bot lain yang berada berdekatan dan dihantar oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan di HSAH.

Mangsa yang meninggal dunia pula dibawa ke Jeti Tanjung Dawai oleh APMM sebelum dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bot, polis, lemas, memancing, ombak, APMM