Bot nelayan terbalik, seorang mangsa masih hilang di Kuantan


  • Berita
  • Sabtu, 18 Dis 2021

OPERASI Carilamat ditangguhkan pada jam 7.00 malam, Jumaat dan disambung semula jam 7.00 pagi, Sabtu. — Ihsan APMM

SEORANG daripada lima nelayan warga Myanmar masih belum ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bot nelayat yang terbalik di Kuala Kuantan, Kuantan, Pahang awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku di sekitar 8.3 batu nautika tenggara Kuala Kuantan itu, empat nelayan berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun berjaya diselamatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, berdasarkan laporan mangsa, bot Kelas C yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ombak laut yang bergelora berserta angin kencang.

"Pihak APMM menerusi Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada pemilik bot tersebut yang melaporkan kejadian berkenaan.

"Bot ronda maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan Carilamat," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan.

Katanya lagi, beberapa rakan pemilik bot juga telah membuat pencarian awal untuk mencari mangsa yang masih belum dijumpai.

"Carilamat ditangguhkan pada jam 7.00 malam, Jumaat dan disambung semula jam 7.00 pagi, Sabtu.

"Operasi pencarian turut melibatkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi," ujarnya.

Sementara itu, APMM Pahang sentiasa meningatkan komuniti maritim khususnya bot-bot nelayan tempatan termasuk bot-bot kecil supaya berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora yang sedang melanda kawasan pantai timur.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram